"Assalamualaikum..." Perlahan-lahan Rashid menghampiri pintu. Dikuaknya daun pintu. Tercegat seorang gadis manis.
"Anak ini mencari siapa?" Senyuman Rashid masih mekar menguntum.
"Saya mencari seorang lelaki yang pernah menjadi bapa saya," Berkerut dahi Rashid. "Mengapa pula cari di sini,"
"Siapa nama bapa kamu,"
"Saya pun tidak tahu," Rashid menepuk dahi. Terasa seluruh akalnya dipulas. Kehairanan pun bertamu.
" Kalau kamu tidak tahu, bagaimana mahu mencarinya,"
"Saya mengikut kata hati, Dimana kaki saya berhenti di situlah saya akan mencarinya,"
" Nak, ini bukan perkara main-main."
"Pakcik nampak saya sedang bergurau kah?"
"Betul juga, akan tetapi kenapa pula ditanyakan kepada aku?" Suara hati Rashid berbisik lagi. Seraya matanya menatap wajah dihadapannya.
Gadis bermata bulat itu masih merenungnya. Sinar matanya menikam kalbu Rashid. Kemulusan kulitnya tidak mampu menandingi kehalusan sutera yang pernah dipakai oleh bekas isterinya dahulu. Rashid meraba pipinya. Basah! Direnungnya dada langit. Tiada tangisan yang mencurah. Di pandangnya keliling. Kehitaman di mana-mana. Yang kelihatan hanyalah di hujung sana. Si kecil berlari-larian membawa cahaya di tangan sambil dikejar oleh yang lain.
Dipandang pula rumahnya. Pancaran lampu kalimantang menyinari halaman yang tetap setia kosong. Hembusan pawana malam mengigit temulang sarafnya. Ramadhan ini masih tetap seperti dulu. Kesepian, keterasingan. Namun bagi Rashid itu bukanlah masaalah baginya. Dia lebih senang bergitu. Dia tenang bergini sewaktu memujinya. Keterasingan ini membawanya kepada kedamaian. Kedamaian yang menjadi buruan para sufi dan ambia.
Tetapi malam ini, khusyukku diganggu. Entah dari mana gerangan gadis ini tiba-tiba, bertanyakan ayahnya. Sudahlah nama tidak nyata. Manakan mungkin aku membantunya.
"Pakcik, tatkala langit Khirmizdi menjadi cerah. Ada cahaya yang akan bersinar." Senyuman yang kian meleret membuatkan Rashid semakin bingung. Siapakah dia ini?
"Adakalanya pakcik, tiada apa yang dapat menghurai simpulan yang kian terlerai. Kadangkala yang terhurai pun akan tersimpul kembali. Hanya kita yang mengenal kita,"
"Aduh..,pening kepala aku. Apa yang kau mahu sebenarnya? Berkata bagaikan pujangga. Sudahlah ketenanganku kau cemar.
" Pakcik, ada berita gembira yang saya bawa. Seluruh sarwaalam menyambut sahut-bersahut, dari itu bersedialah pakcik bekalanmu sudah cukup. Pengangkutan mu juga sudah tersedia. Kini sudah sampai detik itu. Bergembiralah, kerana ujianmu sudah hampir tamat. Kebahagiaanmu kian menjelang," Kepala rashid mulai berputar. Dia mula berlari mencari titik mula.
"Pakcik solat malammu tiada siapa yang tahu. Puasamu jua tiada yang tahu. Basah bibirmu kerana dia. Setiap urat dan sendimu juga sudah malu mengikuti zikir dan amal kebajikanmu. Jadi biarlah saya yang menemani pakcik bertemunya."
0 Ulasan:
Post a Comment