20 June 2006

Sastera memupuk Semangat perpaduan

Petikan Akhbar Metro

Nafas Teaterikal : Apabila puisi bergema di jalanan
Oleh Khalid Salleh

LANAI Warisan Seni di Jalan Tuanku Abdul Rahman (bersebelahan pawagam Coliseum) mungkin tidak berapa serasi untuk acara pembacaan puisi. Tapi, itu hanya kemungkinan yang beralaskan nilai lingkungan. Tempat itu bertentangan hiruk pikuk kenderaan, terutama apabila lampu di tempat pejalan kaki melintas bertukar warna hijau untuk laluan kenderaan. Deruman enjin kenderaan, terutama motosikal agak membingitkan seketika. Itulah realiti yang berlaku di Lanai Warisan Seni.

Bagaimanapun, kekuatan semangat selain dokongan tenaga kerabat kerja yang jarang mengecewakan, terutama Amir Nizamuddin, Osman Jailaini, Taigar Aman, Zukri Jantan, Farrah Aini, Fauzana dan beberapa lagi, program Santai Puisi Bersama Khalid Salleh Dan Rakan-Rakan Penyair mampu membentuk khalayaknya tersendiri.

Sabtu lalu, bermula jam 3.30 petang, program yang dipertanggungjawabkan kepada saya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan berlangsung buat pertama kalinya sebagaimana dijadualkan di tempat itu.
Untuk permulaan itu, penyair Mustapha Ibrahim (rakan sama membesar di Anak Alam), Salmiah Ismail dari Dewan Bahasa dan Pustaka, penyajak Muhammad Shukri Abdullah, penyanyi Aishah dan saya sendiri memberikan pengenalan awal program yang akan berlangsung seterusnya pada setiap Sabtu, minggu ketiga dan keempat setiap bulan hingga Ogos ini bermula jam 3.30 petang dan berakhir 5.30 petang.

Kehadiran khalayak yang tidak duga dan tidak pernah dilihat dalam mana-mana acara baca puisi yang diadakan di Rumah Pena atau selainnya, meyakinkan saya dan rakan-rakan untuk menjadikan program di Lanai Warisan Seni itu sebagai titik pembelajaran bagaimana mengenalkan puisi di tengah khalayak yang sedang sibuk di jalanan dan mempunyai urusannya masing-masing, termasuk membeli-belah di deretan kedai mahu pun pusat beli-belah berhampiran.

Tentu saja saya dan kerabat kerja yang lain berasa bahagia dan berbesar hati apabila tanpa diduga, Pengetua Akademi Fantasia musim ke-4, Ramli Sarip yang saya kenali, bersama dua rakannya turut hadir sebagai pendengar dan penonton. Pada kesempatan lain selepas waktu persembahan, Ramli melahirkan hasratnya untuk turut sama memeriahkan acara itu sekiranya ada waktu terluang untuknya.

Barangkali, itu suatu bonus untuk saya dan rakan-rakan. Ramli Sarip adalah satu nama gah yang mempunyai keperibadiannya tersendiri. Biarpun di gelar 'papa rock', tetapi Ramli mempunyai sentimen tersendiri terhadap puisi dan juga lagu puisi. Ini terbukti menerusi pembabitannya dalam banyak program yang bernafaskan puisi.

Bukan saja Ramli, bahkan penyanyi mana sekalipun seharusnya memahami dan mendekati puisi. Setidak-tidaknya berasosiasi dengan kalangan mereka yang akrab dengan puisi, kerana puisi meluaskan pemikiran melalui penggunaan ayat, mahupun perkataan yang mempunyai makna dan pengertian berlapis-lapis.,

Penyanyi tidak harus berasakan dirinya 'bintang'. Bintang akan gelap bahkan tidak kelihatan langsung apabila tompok mendung berarak menutupinya. Penyanyi harus meletakkan dirinya sebagai manusia yang dianugerahkan sedikit kelebihan (kalau boleh disebut begitu) iaitu suara. Suara itulah yang harus dimanfaatkan untuk dijadikan sebahagian dari ibadah untuk kebaikan diri dan orang lain, bukan untuk kepentingan diri semata-mata.

Suara, lagu, lirik (puitis/puisi) adalah aset yang boleh melunakkan fikiran dan rasa pendengar ke arah kebaikan. Maka itu penyanyi harus menyedari hakikat diri dan hakikat hidup supaya tidak hanyut dilambung keinginan untuk menjadi glamor.

Bagi Ramli, zaman rocknya mungkin sudah berakhir. Tapi kebijaksanaannya memberi nafas puisi dalam pembabitannya sebagai penyanyi membuatkan dia masih terus diterima segenap lapisan usia. Selain itu, Ramli tidak lupa mengenal dirinya dan seni yang ditekuninya. Begitulah yang sempat saya kenali mengenainya.

Pada Sabtu ini (24 Jun) Ramli masih belum berkesempatan menjadi tetamu undangan saya. Begitupun, Sani Sudin, Sutung Umar RS, Ras Adiba Radzi, Tengku Khalidah sudah bersedia membantu menyemarakkan Santai Puisi Khalid Salleh Dan Rakan-Rakan Penyair di Lanai Warisan Seni mulai 3.30 hingga 5.30 petang. Tidak ketinggalan Fuad Bibit yang didatangkan khas dari Universiti Malaysia Sabah tentu ada keistimewaan atau ramuannya tersendiri. Memahami dan mendengar puisi dibacakan adalah suatu keindahan.

Kenapa tidak dicuba? Persembahan terbuka tidak dikenakan apa-apa bayaran. Apa nak digusarkan?

Lantaran itu , mengapa sastera perlu dipinggirkan? Adakah sastera itu khayalan semata....?

0 Ulasan:

Template by:
Free Blog Templates