03 July 2006

Pesan Dari Seorang Sahabat

Dari pada emel saya
Saya amat tertarik dengan sebuah artikel di dalam majalah MUSLIMAH pada keluaran Julai yang lalu yang bertajuk "Awasilah Dakyah Kristian" yang ditulis oleh saudari Salmiah Harun. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada majalah MUSLIMAH kerana dari masa ke semasa sentiasa prihatin terhadap soal kristianisasi ini, semoga Allah merahmati usaha di pihak saudara selama ini.

Sebenarnya pengedaran buku 'Rahsia Jalan Yang Lurus' itu hanya satu kejutan kecil sahaja bagi iman kita orang-orang Islam di Malaysia. Mutakhir ini, sesiapa sahaja yang sentiasa 'memonitor' perkembangan kristianisasi di Malaysia lebih berdepan dengan pelbagai kejutan lain dalam soal ini. Dengan adanya keprihatinan di pihak saudara dalam soal ini, saya merasa terpanggil untuk berkongsi kerisauan saya dengan pihak saudara berkenaan dengan halMemanglah pihak Ahli Kitab sentiasa mencari-cari peluang untuk merosakkan iman kita sepertimana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah di awal ayat 120:

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)."Mereka memang tidak akan sekali-kali bersetuju dengan kita sehinggalah iman kita 'dicuri' oleh mereka. Dan sejak kebelakangan ini usaha-usaha mereka itu semakin dipertingkatkan tanpa ada pihak yang dapat menyekatnya.

Selain dari buku "Rahsia Jalan Yang Lurus" saya ada mengesan beberapa buah buku lagi yang telah diterjemah khas ke dalam Bahasa Malaysia dan sedang diedarkan seperti buku "Kepercayaan dan Amalan Orang Kristen" (1991) oleh William Miller, buku ini diterbitkan oleh Spear Publication di England. Sebuah buku lagi ialah "Kisah Al Masih" (1971) yang diterbitkan oleh Bible Literature International di Canada. Buku terakhir ini menceritakan tentang riwayat hidup nabi Isa a.s menurut pandangan Lukas di dalam kitab Perjanjian Baru mereka. Kesemua buku-buku ini diedarkan secara percuma.

Saudara pengarang, usaha yang dilakukan oleh mereka tidak berakhir di situ sahaja, baru-baru ini mereka telah menerbitkan buku-buku lain yang jauh lebih berani dan mencabar keimanan kita. Buku-buku ini diterbitkan oleh Kairos Research Centre Sdn. Bhd. Yang beralamat di Unit 693-1-33 Desa Kiara Condominium Jalan Damansara, 60000 Kuala Lumpur. Sebenarnya perkataan 'Kairos' ini diambil dari perkataan Yunani "kaipos" yang bermaksud "peluang" atau "musim" atau "masa yang sesuai". Jadi 'Kairos Research Centre' bermaksud 'pusat penyelidikan untuk mencari peluang-peluang keemasan' untuk pendakyahan agama mereka. Buku-buku terbitan syarikat ini boleh didapati di kedai-kedai buku Kristian.

Salah sebuah buku yang diterbitkan oleh 'Kairos Research Centre' bertajuk "Circumcised Heart" (1999) oleh Hilmy Nor. Untuk pengetahuan saudara, Hilmy Nor adalah antara orang Melayu yang beragama Islam yang telah menukar agamanya ke Kristian (murtad), nama sebenar beliau ialah Hilmy bin Hj. Mohamad Nor. Buku ini menceritakan penderitaan dan perjuangan Hilmy setelah memeluk agama Kristian dan telah ditahan di bawah ISA selama 14 bulan oleh pihak berkuasa di dalam Operasi Lalang pada tahun 1987 kerana didapati bersalah menyebarkan dakyah agama Kristian kepada orang-orang Islam.
Buku ini seolah-olah memberi semangat kepada sesiapa yang berkeinginan untuk murtad untuk meneruskan niatnya itu. Mungkin tidak ramai di kalangan kita yang menyedari atau mungkin tidak terfikir langsung akan wujudnya buku seperti ini.

Sebuah lagi buku dari syarikat yang sama yang lebih sensitif dan mencabar maruah kita sebagai orang Islam ialah "Freedom of Religion In Malaysia" (1999) oleh Lee Min Choon seorang peguam beragama Kristian yang telah 10 tahun terbabit dalam memperjuangkan hak kebebasan beragama di Malaysia. Beliau menggunakan pendekatan undang-undang iaitu Artikel 11 di dalam perlembagaan Malaysia mengenai hak kebebasan beragama. Beliau mendakwa yang orang-orang Islam juga bebas menukar agama tanpa apa-apa halangan dari perlembagaan (hal. 21-32). Melalui Artikel 11 ini juga beliau mendakwa yang orang-orang beragama lain bebas mendakwahkan ajaran masing-masing kepada semua termasuklah kepada orang-orang Islam sendiri (hal. 81-99).
Untuk membuktikan yang akidah orang-orang Islam di Malaysia sebenarnya tidak 'kebal' atau tidak dilindungi oleh undang-undang yang sedia ada, Lee telah menyebut beberapa kes yang dapat menyokong kenyataan beliau itu. Antara kes-kes itu ialah kes kemurtadan Nor Aishah Bokhari (hal. 51) yang menjadi isu hangat pada tahun 1998. Kes ini merupakan satu kemenangan besar bagi pihak Kristian melalui undang-undang. Kes ini juga seolah-olah telah memberi satu semangat baru kepada gerakan mereka.

Kes lain yang disebut di dalam buku tersebut ialah kes murtadnya Jamaluddin bin Othman (hal. 42) yang sekarang menjadi orang kuat di dalam pendakyahan Kristian terutamanya di kalangan orang-orang Melayu. Selain dari itu kes penterjemahan Bible ke dalam bahasa Malaysia yang dipanggil Alkitab (hal. 67-73) juga ada disebut. Memang pada mulanya kerajaan melarang pengeluaran Alkitab di dalam bahasa Malaysia ini, tetapi sekarang tidak lagi. Alkitab ini menggunakan istilah-istilah Arab seperti "Allah" sebagai nama Tuhan, "imam" untuk paderi dan beberapa istilah lain seperti "nabi", "malaikat" dan lain-lain lagi. Istilah-istilah ini sebenarnya boleh mengelirukan orang-orang Islam. Alkitab ini dicetak di Indonesia untuk The Bible Society of Malaysia (1996).

Akhbar Gereja Katolik yang bernama 'Herald' yang diterbitkan oleh Uskup Agung (Archbishop) Kuala Lumpur pada keluaran 4 Jun 2000 telah menyiarkan sebuah artikel yang bertajuk 'The Right to Profess and Propagate Religion' (hal. 11) ada memetik ceramah yang disampaikan oleh Lee Min Choon (penulis buku "Freedom of Religion In Malaysia") di dalam 'Seminar on Society and Justice' yang telah diadakan di Federal Hotel, Kuala Lumpur pada 6 Mei yang lalu, Lee yang memberi ceramah yang bertajuk 'Freedom of Religion' berkata dalam seminar itu:
"One such issues is 'Can a Malay or Muslim convert out of Islam?'Article 11 of constitution clearly includes Muslims in the defination of 'every person'. In Jamaluddin bin Othman vs Menteri hal Ehwal Dalam Negeri 1989, the court held that a Malay Christian cannot be detained under the Internal Security Act ((lSA) for preaching Christianity to Muslims," explained Lee. "The Supreme Court upheld a Malay person's right to be a Christian and to propagafe his Christian faith."

Sebenarnya isi ceramah beliau itu adalah sedutan dari buku beliau - "Freedom of Religion In Malaysia" dan itulah sebenarnya matlamat perjuangan beliau selama ini. Entah bagaimana buku-buku ini dapat diterbitkan sedangkan ianya mengandungi isu-isu yang sensitif dan boleh membawa prasangka negatif di antara penganut agama Islam dan Kristian di Malaysia. Saya amat-amat memandang berat akan pengedaran buku-buku seperti ini.

Saudara pengarang, saya harap surat saya ini mendapat tempat yang sewajarnya di pihak saudara, saya telah menyelesaikan tanggungjawab saya di dalam perkara ini jadi terpulanglah kepada pihak saudara untuk menyebarkannya kepada saudara-saudara seIslam kita, saya memandang ini sebagai satu tanggungjawab yang Allah SWT berikan kepada kita bersama. Berjuang untuk mencegah kebatilan demi agama Islam yang tercinta adalah sangat-sangat mulia di sisi Allah SWT, firman Allah SWT di dalam surah Muhammad ayat 7:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."Melalui pendedahan ini saya berharap agar para pembaca dapat membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang akan terjadi kepada orang-orang Islam di negara ini di masa yang akan datang sekiranya apa yang didakwa di dalam buku "Freedom of Religion In Malaysia" adalah benar-benar sahih. Hanya setakat ini dahulu dan semoga Allah memberkati pihak saudara dalam memperjuangkan agama-Nya.
Wassalam.

Template by:
Free Blog Templates