27 August 2007

satu penjelasan mengenai anjing dan babi(khinzir)

Penjelasan gambar siswi muslim memegang anjing & babi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kepada yang berkenaan,

Semoga sentiasa dalam lingkungan rahmat dan kasih sayang Allah swt. Saya merasa terpanggil untuk memberikan sedikit maklumbalas berkenaan beberapa gambar yang diedarkan menerusi
internet yang menunjukkan seorang siswi Fakulti Perubatan Veterinar UPM yang bergambar berdekatan serta memegang/menyentuh anjing dan babi.

Email ini saya tulis secara panjang lebar dengan harapan huraiannya dapat difahami dengan jelas dan tidak disalah tafsirkan. TETAPI buat mereka yang tidak mempunyai masa yang
banyak untuk membaca cukuplah saya katakan TIADA APA-APA MASALAH PADA GAMBAR TERSEBUT!. IA TIDAK MENGHINA ISLAM SEBALIKNYA MENERANGKAN BAHAWA UMAT ISLAM BOLEH MENYENTUH
ANJING DAN BABI. ADALAH MENJADI TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH UNTUK MENGURUSKAN KESELESAAN HIDUP HAIWAN INI DENGAN MEMASTIKAN KEBEBASAN DAN KESIHATANNYA TERJAGA.

Tiada nas yang mengatakan menyentuh anjing dan babi itu haram.Yang haram ialah memakannya. Kita perlu jelas pandangan Islam terhadap 2 makhluk ini. Kedua-duanya adalah ciptaan Allah,
dan Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia, sebaliknya setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Adakah Allah menciptakan anjing dan babi ini untuk dipandang hina oleh umatnya?

Sebelum meneruskan perbincangan, izinkan saya memberi sedikit pengenalan diri, saya merupakan salah seorang graduan Doktor Perubatan Veterinar tahun 2006. Kini menyambung
pelajaran dalam bidang master fisiologi di Fakulti Perubatan Veterinar UPM semester pertama. Sebelum ini, bersekolah di Sek. Men. Keb. Agama Kuala Selangor. Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk memberi penjelasan kerana yang terbaik adalah mereka yang mendalami ilmu agama agar dapat menjelaskan dengan menyatakan nas-nas serta tafsiran yang tepat serta mendalam. Walaubagaimanapun saya akan cuba menjelaskan dengan pengetahuan agama sedikit yang saya ada dan hasil daripada
perbincangan secara peribadi dengan ustaz-ustaz serta seminar yang pernah kami adakan di fakulti sendiri berkenaan dengan isu ini.

Pertamanya, sebagai seorang doktor veterinar (doktor haiwan)sememangnya kami mungkin akan berhadapan dengan situasi merawat anjing atau babi. Bagi doktor veterinar atau ringkasnya
vet, yang bekerja di klinik-klinik haiwan kebanyakannya akan merawat anjing dan juga kucing. Walaubagaimanapun terdapat sesetengahnya yang menghadkan rawatan kepada kucing sahaja. Berkenaan dengan babi, kebiasaannya tiada vet muslim yang akan bekerja di ladang ternakan babi. Walaubagaimanapun,bagi vet yang bekerja di jabatan perkhidmatan haiwan,
adakalanya mereka akan ke ladang ternakan babi untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan ladang tersebut mengamalkan amalan pengurusan ladang yang baik supaya bebas daripada penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit Nipah yang merebak pada tahun 1999 yang turut membahayakan nyawa manusia. Terdapat juga vet yang bekerja di makmal yang memproses sampel-sampel yang datang daripada babi atau anjing seperti darah, najis,organ-organ dan ebagainya
Justeru, dalam kurikulum Doktor Perubatan Veterinar, pelajar akan terlibat mengendalikan anjing dan babi. Bermula dengan organ-organ haiwan tersebut dalam amali bagi subjek anatomi
dan fisiologi sehinggalah kepada mengendali, merawat dan membuat post mortem terhadap haiwan tersebut secara seluruhnya apabila memasuki tahun para-klinikal dan klinikal. Secara
umumnya saya bersetuju dengan perkataan desensitization yang digunakan oleh salah seorang yang menghantar email tersebut kepada saya. Sebagai vet, proses ini perlu kerana kami tidak
sepatutnya jijik untuk merawat pesakit kami kerana itu merupakan tanggungjawab kami yang juga terkandung dalam ikrar yang dilafazkan oleh setiap vet ketika bergraduan.Apabila memasuki tahun ke 4, pelajar vet akan mengikuti subjek pengenalan terhadap klinik. Dan subjek klinik pada tahun ke 5.dalam kedua-dua subjek ini pelajar akan dibahagikan kepada
kumpulan-kumpulan yang kecil dan kumpulan kumpulan ini akan bergilir membuat praktikal dalam amalan-amalan yang telah ditetapkan. Pelajar-pelajar ini akan membuat praktis selama
seminggu dalam setiap amalan. Amalan-amalan ini termasuklah amalan haiwan kesayangan yang melibatkan rawatan terhadap anjing dan amalan ternakan babi yang memerlukan pelajar ke
ladang ternakan babi untuk membuat pemerhatian, diagnosis penyakit serta rawatan. Daripada apa yang saya lihat,gambar-gambar yang diedarkan menerusi internet itu adalah gambar yang diambil oleh pelajar ketika praktikal sama ada dalam subjek pengenalan klinik atau subjek klinik ini. Pada pandangan saya, pelajar itu berkongsi gambar gambar tersebut secara
umum dalam internet bukanlah bertujuan menghina agama atau sebagainya, sebaliknya sekadar berkongsi suatu pengalaman yang mungkin tidak dilalui oleh orang ramai.

Berkenaan dengan isu menyentuh, memegang, merawat anjing dan babi yang dikategorikan sebagai najis mughollazoh iaitu najis berat dalam feqah, ianya bukanlah haram seperti
mana yang dikatakan oleh sesetengah masyarakat melayu. Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana saya sebagai seorang muslim boleh menyentuh anjing dan babi yang haram disentuh?. Berdasarkan pelajaran feqah yang saya pelajari sejak sekolah rendah agama
hinggalah sekolah menengah, menyentuh najis mughollazaoh tidak haram. Apa yang dinyatakan oleh hukum feqah ialah apabila kita menyentuh najis mughollazoh kita dikehendaki menyucikannya dengan bersamak iaitu membasuh dengan air yang telah dicampurkan dengan tanah sekali dan membilasnya dengan air mustamal (air yang bersih dan suci) sebanyak 6x.Yang haram berkaitan dengan anjing dan babi ialah memakannya bukan enyentuhnya.

Sebagai seorang melayu, saya maklum pandangan masyarakat melayu yang merasakan geli atau jijik terhadap anjing dan babi.Mungkin ini adalah disebabkan nilai yang diwarisi daripada
ibubapa yang mungkin berasal daripada usaha untuk mengelak daripada tersentuh anjing dan babi yang mana proses menyucikannya dilihat sebagai agak leceh dan jika tidak dilakukan akan menjejaskan ibadah. Saya sendiri, walaupun telah jelas berkenaan dengan hukum
Menyentuh anjing dan babi, merasa kekok dan sedikit geli apabila kali pertama memegang jantung babi apatah lagi ketika kali pertama mengangkat anjing untuk diletakkan di atas meja pemeriksaan yang mana tekniknya memerlukan kita merapatkan badan anjing tersebut
ke badan sendiri kerana itu merupakan teknik yang selamat bagi mengelakkan kecederaan yang tidak dingini dalam proses mengangkat tersebut. Namun, kita perlu jelas pandangan Islam
terhadap 2 makhluk ciptaan Allah ini. Adakah Allah menciptakan anjing dan babi ini untuk dipandang hina kerana itu ianya diistilahkan sebagai najis berat? Jika ya mengapa terdapat
hukum feqah yang menyatakan haiwan buruan yang dibunuh oleh anjing buruan yang terlatih halal dimakan dengan syarat pemburu berniat kerana Allah ketika melepaskan anjing buruan tersebut.Bagaimana pula dengan kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya dan imasukkan ke dalam syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan dengan
menggunakan kasutnya?

Anjing dan babi juga merupakan makhluk ciptaan Allah yang mana termasuk dalam tanggungjawab manusia sebagai khalifah di mukabumi untuk menguruskannya. Sebagai makhluk ia juga seperti manusia memerlukan makanan apabila ia lapar, minuman apabila haus dan
ia perlukan rawatan apabila ia sakit, walaupun mungkin dari sudut keutamaannya berbeza dengan manusia. Justeru saya melihat apa yang dipelajari oleh vet berkenaan dengan anjing dan babi serta kewajipan merawatnya termasuk dalam perkara fardhu kifayah dan ia memenuhi sebahagian tanggungjawab manusia sebagai khalifah.

Walaubagaimanapun menjadi tanggungjawab vet untuk mengetahui tuntutan agama yang perlu dipenuhi dalam kerjayanya. Vet dan pelajar doktor perubatan veterinar perlulah berhati-hati dan tidak sambil lewa dalam soal kesucian tubuh badan dan pakaian kerana ianya akan menjejaskan ibadah. Yang terbaik ialah mengasingkan pakaian kerja dengan pakaian harian terutamanya pakaian untuk solat jika tidak mahu menyamak pakaian kerana khuatir pakaian akan rosak dan sebagainya. Bagi orang awam pula tidak perlu risau kerana najis ini tidak berjangkit maksudnya jika seorang vet hanya membasuh tangannya dan telah membersihkan zat najis tersebut selepas bertugas tetapi masih belum menyamak tangannya, ia tidak berjangkit jika anda bersalaman dengannya kerana tiada zat najis (warna, bau dan rasa)
pada tangan vet tersebut. Tetapi vet tersebut perlu menyucikan tangannya dengan bersamak sebelum solat. Hal yang sama jika anda bersalaman dengan orang bukan Islam yang mungkin memelihara anjing di rumahnya. Begitu juga dengan tapak kasut anda yang memijak mukabumi yang pernah dipijak oleh anjing atau babi.

Tidak perlu risau dan terlalu was-was selagi tiada zat najis.Walaubagaimanapun terdapat cadangan daripada sesetengah ustaz untuk menyamak seluruh badan sekali sekala bagi orang awam dan mungkin berkala bagi vet seperti sebulan sekali supaya jika terdapat najis mughollazoh pada badan yang tidak diketahuinya, ia dapat disucikan. Namun saya kira ini adalah sekadar satu pandangan bukan kewajipan yang baik untuk mereka yang was-was
praktikkan. Sebenarnya terdapat pelbagai persoalan -persoalan yang timbul yang berkait dengan kerjaya vet seperti bagaimana vet muslim merawat kuda yang terlibat dalam lumba kuda,apakah hukumnya?, bagaimana pula dengan bayaran upah perkhidmatan yang diterimanya? adakah ianya halal? Begitu juga jika vet muslim memberi perkhidmatan nasihat untuk memperbaiki usaha perladangan babi, bagaimanakah hukumnya? Adakah ianya berdosa kerana membantu orang memakan babi? Bagaimana jika membuat pembedahan yang panjang sehingga terlepas solat? Adakah sama seperti pembedahan manusia yang membolehkan solat tersebut dijamakkan?

Banyak lagi soalan-soalan yang datang samada daripada orang awam, dikalangan vet atau pelajar vet sendiri yang saya sendiri tidak mampu menjawabnya dengan ilmu agama yang cetek ini. Saya kira perkara yang sama juga berlaku atau akan berlaku dalam bidang kerjaya anda jika anda mencarinya ini kerana Islam itu adalah cara hidup yang syumul, elemennye terdapat dalam semua bidang,dan yang indahnya, Islam sudah pun ada jawapannya, terpulang
pada kita untuk menyelidik dan memahaminya dengan panduan dan tunjuk ajar daripada mereka yang ahlinya.

Akhirnya, sebagai seorang muslim, marilah kita bersama mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan salah faham masyarakat khasnya masyarakat melayu berkaitan dengan isu ini. Perkara ini banyak dipertikaikan oleh masyarakat yang bukan Islam terutamanya mereka yang kuat memegang nilai kebajikan haiwan. Seorang senior saya dalam projek tahun akhirnya yang berkenaan dengan kebajikan haiwan, menjalankan satu soal selidik. Salah satu daripada soalannya adalah jika anda melihat seekor anjing yang tersepit kakinya, adakah anda akan menolong melepaskan kakinya? Nyatakan alasan bagi setiap jawapan anda. Sebagai
seorang muslim saya merasa sedih dan malu apabila terdapat satu jawapan yang menyatakan Tidak, kerana saya seorang Islam. Senario ini harus kita ubah kerana sebagai seorang Islam kita perlu menjaga 3 hubungan iaitu hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk yang lain. Sesungguhnya Islam itu syumul, segalanya sudah pun digariskan panduannya,terpulang kepada kita untuk mencari, memahami dan mengamalkannya.

Wallahualam

Saya mengalu-alukan mereka yang ingin mengemuka pandangan, memperbetulkan fakta atau berkongsi maklumat baru berkenaan dengan hal ini. Anda bolehlah menghantar email kepada
lapanjuta@yahoo. co.uk Sekian moga bermanfaat untuk semua.

Terima kasih.

Dr. Mohd Dzulhamka Kamaluddin
DVM, UPM

Disemak oleh,
Prof. Dr. Rasedee Abdullah
Pensyarah
Fakulti Perubatan Veterinar
Universiti Putra Malaysia


Apa kata anda?..............

6 Ulasan:

Puteri said...

sshnye nk bc =)
jap.. btl ke tidak haram memegangnya? ish.. konfius dah.. tp.. bknke mmg kita haram pgg apa lg mkn?

mungkin la klau kita sbg doktor prlu mrawat binatang2 trsebut, dibolehkan sbb kita nk mmbantu.. tp klau sesaje ni.. haram tetap haram.

hmm..

Anonymous said...

Macam2 kalau sudah keliru, antara pegang dan makan?

macai_suci said...

hmm....itulah nak ulas panjang kita sendiri pun kuarang ilmu....he..he...

Anonymous said...

x taw
rase dah bace lagi konfius
btul ke
ntah la
bagi diri sendiri
dah taw hrm, hrmla
maybe rukhsah tuk dr.haiwn je kot
y x dr. wat pe nk suke2 pegg

macai_suci said...

Salam Ramdhan buat semua pengunjung weblog ini...

Have Fun In Life said...

pegang tidak haram...
hanya perlu samak..

tapi pegang perempuan bukan muhrim..itu jelas haram... apa lagi kalau berpeluk dan bercumbuan-cumbuan seperti salah seorang artis kita dan artis sebarang..
-----------------------------------

Bagi saya.. pendapat dari Dr Dzulhamka adalah pendapat peribadi dari seorang yang berkecimpung dalam arena vet itu sendiri..

Mungkin apa yang dikata itu betul tapi mungkin juga kurang lengkap.. Tapi utk mengatakan beliau mengharamkan yang halal, dan menghalalkan yang haram agak keterlaluan lah...

Apa yang penting kita sebagai manusia menerima keterbukaan sesiapa sahaja utk memberi dan menerima pendapat…

Melayu penuh dengan ‘do and dont’ yang kadang-kadang melangkaui agama Islam itu sendiri… (Rasanya bersanding tu, adat atau ibadah) (haram atau halal)

Mungkin wanita itu melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh masyarakat kita tapi apa yang penting binatang yang mereka pegang itu hanyalah najis dan boleh disamak.. Bagi setengah orang ia mungkin giler dan geli, mungkin juga tidak..

Tapi bagaimana pula dengan artis-artis kita yang sewenangnya-wenangnya ‘cium-mulut’ atas tiket pasangan kekasih… (tang nier nk minta pendapat JAKIM atau Jabatan Agama gak ker)

Adakah ‘mastika’ buat cover-up utk isu ini???

SAMA-SAMA KITA FIKIRKAN

Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar
a.k.a Cousin to Dr Dzulhamka Kamaludin

BBA (HONS) TRANSPORT
KISAS SPM 2000

Template by:
Free Blog Templates